Nuffnang Ads

Monday, 5 November 2012

KERANA SEEKOR KURA-KURA, NASI DI DAPUR HANGIT

Al kisah...kita ni hidupnya dari turun-temurun nenek moyang. Walaupun kita ni keturunan Bugis, Jawa, Banjar dan sebagainya, kita dah hidup dan bercampur gaul dengan orang Melayu. Kita dah sentiasa terdengar berkenaan 'pantang larang tok nenek moyang'. Senang cerita, kita punya minda dah di set kan bahawa itu tak boleh, ini tak boleh. Boleh mendatangkan sial dan sebagainya.

Apa pula hukumnya? Sedangkan kita hanya mengikut sahaja larangan orang-orang tua dulu kerana mereka lebih arif @ lebih dulu makan garam. Dek kerana tidak mahu mereka berkecil hati, kita hanya turutkan. Namun, apa yang dikhuatiri, adik-adik kecil pon dah pandai cakap itu bawa sial, ini lah penyebab kita ditampa bala. Apabila ditegur, mereka akan cakap yang kita ni macam pandai sangat. Tidak kah mereka tahu dan sedar bahawa perbuatan dan kepercayaan mereka itu boleh menjatuhkan syirik kecil ke atas mereka?

Ini adalah salah satu daripada senarai perkara yang boleh menjatuhkan hukum Syirik Asghar (syirik kecil). Apa itu syirik kecil? Syirik kecil adalah syirik yang tidaklah mengeluarkan seseorang itu dari agama, namun ia tergolong dalam dosa-dosa besar dan dibimbangi orang yang melakukannya atau berterusan melakukannya akhirnya akan mati sebagai seorang kafir jika tidak diberi rahmat oleh Allah dengan taubat dan keampunanNya. Nauzubillah..

Mempercayai sial sesuatu. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a.)

Begini kisahnya :

Pada suatu malam, sedang seorang anak ini di dalam perjalan pulang ke rumah dengan menaiki kereta bersama adik-adiknya, maka terlihat dia akan seekor anak kura-kura yang comel yang ingin melintas jalan. Dek kerana hatinya meronta-ronta ingin membela kura-kura itu, dia dengan segera mengundurkan kereta dan meminta adiknya mengambil kura-kura itu untuk dibawa pulang ke rumah.

Buat sementara mendapatkan tempat tinggal yang lebih elok(akuarium), dia telah meletakkan kura-kura itu di dalam sebuah besen yang diisi air. Dia tidak mahu mencampurkan kura-kura itu ke dalam kolam ikan ayahnya, kerana dikhuatiri akan dimakan anak-anak ikan ayahnya. Sedangkan dia baru membawa pulang kura-kura sahaja ayah dan ibunya bising dan mengatakan kura-kura itu berpenunggu.Di dalam hati, dia merungut dengan kepercayaan ibu ayahnya. Namun, didiamkan sahaja.

Malam itu. rutin seperti biasa diteruskan. Mereka membuat nasi lemak untuk dihantar ke warung-warung berdekatan bagi menambah pendapatan. Namun, setelah penat seharian berjalan jauh, adiknya yang sedang mengukus nasi lemak telah terlupa untuk mematikan api kukusan. Lantas dek kepenatan, dia terus ke bilik dan tidur. begitu juga dengan kakaknya yang penat memandu jauh.

Tiba-tiba, lebih kurang pukul 12 tengah malam, mereka tersedar kerana terdengar kecoh-kecoh dirumah. Rupa-rupa adiknya telah terlupa untuk mematikan api kukusan. Oleh itu, air kukusan kering dan telah menghangitkan periuk. Entah bagaimana, api itu telah merebak ke bahagian alas dapur (alaskan kayu diatas jubin) dan membakar kayu alas dapur. Dengan kuasa Allah swt yang masih lagi menyayangi keluarga itu, ibunya telah disedarkan dari tidur. Apa lagi, dengan mulut bising telah mengatakan " kan aku dah kata bahawa kura-kura tu berpenunggu. Esok pagi-pagi pergi pulang tempat asalnya. Terbakar rumah dikerjakan. "

Esok paginya, sebelum keluar pergi kerja anak itu telah membawa kura-kura dengan berat hati dan terpaksa dilepaskan. Dia sangat menyayangi kura-kura itu kerana bentuk cengkerang yang coklat dan tinggi serta garisan kuning di atas kepala kura-kura itu. Namun, dek kerana ingin menjaga hati ibunya, dia malas untuk berbalah dan terus sahaja membawa kura-kura itu keluar tanpa sepatah kata.

Adik-adiknya yang masih kecil turut mempercayai bahawa kura-kura itu berpenghuni. Disini, apa yang kita dapati ialah setiap perlakuan dan percakapan ibu bapa akan memperngaruhui anak-anak. Apa pula akan terjadi dengan perkembangan akidah anak-anak? Kita bukan menidakkan kata orang tua-tua. Namun, kita perlu pandai membezakan yang mana harus dipercayai, yang mana tidak. Kerana, jika ianya berterusan , akan dikhuatiri menjatuhkan syirik kecil.

*Entry ini adalah bertujuan membuka mata orang-orang yang terlalu taksub melabelkan makhluk Allah lain bahawa ianya berpenunggu dan sebagainya. Atau lebih tepat, ada sehingga memujanya, mengikat kain merah, membaling syiling dan membuat hajat. DITEGASKAN DISINI, HUKUMNYA SYIRIK!!



1 comment :